Deruan ombak dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membuatkan Saffiya menarik nafas yang panjang. Rambutnya yang beterbangan menutupi wajahnya diikat dengan getah yang ada di pergelangan tangannya. Hatinya berasa tenang. Kesan tapak kakinya jelas kelihatan sewaktu dia menelusuri pantai Kampung Baru Lagoi.
“Saffiya!”
Langkah Saffiya terhenti mendengar teriakan dari jauh itu. Senyuman terukir di bibirnya. Tangannya melambai-lambai ke arah susuk tubuh yang tinggi itu.
“Ke mana aja sih kamu?” Aditya mula membebel. Anak dara manis itu membuatkan dia risau kerana dia sering menghilangkan diri.
“Ibu cari ya?” tanya Saffiya dan tersengih.
“Enggak. Putih yang nyariin lo.” Putih itu adalah kucing yang keluarga Aditya bela di rumah. Saffiya gelak kecil mendengar Aditya berseloroh dengannya.
“Dit! Yuk lomba ke ibu!” Saffiya mengatur langkah untuk berlari ke arah dapur rumah mereka.
Aditya mengejar Saffiya dari belakang. Suara riuh mendekati rumah membuatkan ibu Indah keluar menjenguk. Dia melihat telatah Aditya dan Saffiya serta mengeleng-gelengkan kepalanya.
Sudah 10 tahun Saffiya berada bersama mereka. Suaminya, Gunawan menemui Saffiya yang pada ketika itu terdampar di persisiran pantai berdekatan dengan rumah mereka. Saffiya ditemui tidak sedarkan diri. Anak kecil yang hanya ingat nama dan umur 12 tahun pada ketika itu lupa ingatan mengenai apa yang terjadi kerana trauma.
Ada sesekali ibu Indah menyentuh soal peristiwa bagaimana Saffiya boleh berada di situ, namun Saffiya mendiamkan diri apabila ditanya. Gunawan dan Indah akhirnya membuat keputusan untuk merawat Saffiya sehingga dia dewasa.
Matahari melabuhkan tirainya, dan malam pun menjelma. Kawasan perkampungan nelayan Kampung Baru Lagoi agak sunyi pada waktu malam. Ramai nelayan sudah kembali ke rumah masing-masing. Aditya membaiki pukat ayahnya yang koyak. Saffiya membantu ibu Indah menyediakan makan malam. Pak Gunawan pula menemani anak bongsunya Sara membuat kerja sekolahnya.
“Ibu, Saffiya rasa Saffiya mau pulang ke Malaysia. Saffiya mau mencari sanak saudara di sana.” Ujar Saffiya memecah keheningan malam.
Ibu Indah meletakkan mangkuk berisi sup ayam di atas meja. Dia tersentak mendengr permintaan anak itu.
“Tiba juga akhirnya saat yang tidak aku ingini” monolog Indah di dalam hatinya.
“Bisa aja, tapi perginya sama Dit aja.” balas Ibu Indah pada Saffiya.
Saffiya tahu Ibu Indah tidak mahu Saffiya pergi bersendirian ke Malaysia, tambahpula dia tidak ada dokumen diri yang sah. Semua itu hilang sewaktu tragedi kapal karam 10 tahun lalu. Dia hanya ada gambar ibunya pada rantai leher yang sempat ibu kandung kalungkan sempena ulang tahun Saffiya ke -12.
Semua orang telah selesai makan malam. Mata mereka tertuju kepada Saffiya, sepertinya tahu ada sesuatu perkara yang dia ingin sampaikan. Pak Gunawan berdehem.
“Kapan Saffiya berangkat?” Pak Gunawan memandang ke arah Saffiya menunggu jawapan.
“Pak Udin bilang bot yang akan belayar besok, pa. Saffiya mau sambut hari terakhir bersama bapa, ibu, Aditya dan Sara.” Saffiya mengecilkan suaranya.
“Ya udah, istirehat aja malam ni.” Pak Gunawan menahan sebak di hatinya.
Perginya Saffiya nanti membuat Pak Gunawan pedih hatinya. “Anak itu bakalan pergi, ya sudah itu untuk kebaikan dirinya juga” Gunawan bermonolog dalam hatinya.
Ibu Indah, Sara dan Aditya hanya senyap membatu. Aditya meneruskan suapan nasi dan lauk yang dimasak oleh Saffiya. Dia tidak mahu merosakkan hari-hari terakhir Saffiya di Indonesia. Dia mahu menikmati dan menjalani sisa hari yang tinggal dengan nyaman.
Malam itu bayu angin malam menyebabkan mereka kedinginan. Bunyi cengkerik membelah kesunyian malam. Pak Gunawan dan Aditya menyambung tugas tergendala membaiki pukat laut. Ibu Indah berbual bersama Sara dan Saffiya di dalam rumah. Gelak tawa mereka kedengaran sekali sekala. Saffiya berasa hangat dengan kasih sayang yang diberikan keluarga itu. Ya, dia tidak akan pernah lupa pada mereka.
Keesokan harinya,
Ibu Indah merupakan orang yang terawal bangun pada pagi itu. Dia menjenguk bilik Saffiya dan memastikan dia sudah bersiap. Pak Gunawan tidak turun ke laut hari ini kerana ingin melihat Saffiya belayar pergi bersama Aditya.
Aditya menghirup kopi panas bersama ayahnya di depan beranda rumah. Sayup-sayup kedengaran perbualan mereka dari dalam rumah.
“Kapan Udin belayar?” Pak Gunawan melemparkan pertanyaan kepada Aditya.
“Sore pa. Bot dijangka tiba di Malaysia dalam masa sehari tetapi mereka harus mendarat awal Subuh, karna mereka harus berhati-hati, kagak mau ketahuan sama polisi Malaysia.
“Bapa kagak yakin sih cara ini selamat, bapa khuatir sama kalian” Pak Gunawan menghela nafasnya. Dia risau dengan keselamatan kedua-dua anaknya.
“Karna itu la Dit nemenin Saffiya. Nggak mau dia sendirian." Kaca mata Aditya berair. Pak Gunawan memalingkan wajahnya. Dia tidak mahu menitiskan air mata depan anak bujangnya itu. Dia tahu Aditya begitu sayangkan Saffiya.
"Ya udah deh, lakukan aja apa yang bener. Bapak nurut aja." Pak Gunawan menepuk bahu Aditya.
Waktu berjalan dengan pantas, petang menjelang. Aditya sekeluarga telah tiba di jeti nelayan. Ramai orang mula memasukkan barangan untuk dibawa pergi mencari rezeki di luar kota. Ramai rakyat Indonesia terpaksa berhijrah ke negara lain mencari sesuap nasi. Bukan mudah untuk mereka memilih berjauhan daripada keluarga, namun realiti kehidupan pahit ditelan, mereka harus membanting tulang menyara keluarga masing-masing. Peluang pekerjaan dan gaji yang lumayan mendorong mereka untuk berhijrah ke Malaysia.
"Jaga diri ya di sana. Jangan lupa sama bapak, ibu, Sara..." Ibu Indah tidak mampu menghabiskan ayatnya. Indah memeluk Saffiya dengan erat.
"Masuk! masuk! Kita dah nak berangkat!" Pak Udin berteriak memberi peringatan kepada semua. Saffiya melambaikan tangannya kepada keluarganya. Bot kelihatan semakin menjauhi jeti.
Pak Gunawan menunggu di jeti sehingga bayang tubuh mereka yang berada di dalam bot sudah tidak kelihatan. Satu nafas yang panjang dihelakannya.
Aditya di dalam bot melindungi Saffiya dan menutupi badannya dengan selimut. Ribut badai yang kencang baru sahaja reda menandakan mereka menghampiri perairan Malaysia. Rakan Udin, Roby memberi amaran agar 20 orang yang berada dalam bot mendiamkan diri agar tidak dikesan polis. Enjin bot dimatikan.
Aditya diarahkan membantu memerhatikan keadaan sekeliling perairan.
"Kamu tinggal di sini dulu ya" Aditya mengusap kepala Saffiya untuk menenangkannya. Saffiya mabuk laut akibat badai yang melanda.
Beberapa detik kemudian, ada bunyi siren yang kuat diikuti jeritan penumpang bot yang kuat. Semua mereka menjenguk ke luar untuk mencari kepastian.
"Polisi! Polisi!"
Polis Gerakan Am Malaysia yang mengawasi perairan Malaysia mengunakan pembesar suara meminta bot itu berhenti.
Keadaan yang kelam kabut menyebabkan Udin mengendahkan arahan pihak berkuasa. Udin cuba untuk menghidupkan enjin dan cuba melarikan diri.
Saffiya yang ingin muntah keluar dan menghadap lautan. Saffiya merasakan kepala dia pening. Dia mencari keberadaan Aditya. Dia melihat kelibat Aditya sedang sibuk membantu mengemudikan bot. Badannya terhuyung hayang mendekati Aditya dan pecutan enjin bot menyebabkan Saffiya terjatuh ke dalam air laut.
Aditya yang menyedari Saffiya jatuh menjerit memanggil namanya. Hampir kesemua orang terjun ke laut kerana tidak mahu ditangkap polis. Mereka cuba untuk berenang ke tepian. Roby menghalang Aditya untuk mencari Saffiya.
"Polisi pasti akan ketemu Saffiya, kita harus selamat dulu." Roby menyuarakan pandangan.
Aditya berasa kesal kerana dia tidak mampu menyelamatkan Saffiya. Air mata lelakinya menitis kerana dia gagal tugas menjaga Saffiya.
Yang berjaya melarikan diri dengan bot hanya tinggal Udin, Roby, Aditya dan seorang ibu mengandung serta suaminya. Mereka tidak mahu mengambil risiko hilang nyawa.
_bersambung_
No comments:
Post a Comment