Friday, 10 January 2020

AKU INGIN KEMBALI Part 9


Telefon bimbit itu diletakkan di atas meja.
Jantung Jessica seperti dicabut keluar dari badan. Dia tidak berdaya untuk berfikir dengan baik. Jessica seperti ingin membatalkan sahaja perkahwinan itu. Dia tidak mahu keluarga kedua-dua pihak mendapat malu.

Jessica merasakan itu tidak mungkin terjadi, kerana dia hanya menjemput keluarga terdekat sahaja iaitu sekitar 300 orang yang dijemput dan kad undangan itu tidak diberikan sewenang-wenangnya. Hanya Anna, kawan baiknya dijemput dan menjadi pengapit pengantin perempuan.

Anna (sekiranya anda masih ingat, Anna merupakan roomate Jessica zaman dia belajar dahulu) menegur Jessica apabila dia melihat kawan baiknya itu seperti cacing kepanasan.

"Kenapa Jess?" Anna memegang lembut bahu Jessica.

"Kamu ingat tak dulu zaman kita belajar, saya minat Islam? Sekarang ini mereka cari saya, mereka tahu saya berkahwin hari ini, apa yang harus saya lakukan?" Jessica menitiskan air matanya. Jessica menyerahkan telefon bimbitnya kepada Anna. Anna dengan pantas membaca semua perbualan whatsapp Jessica dengan Ustaz Ali.

"Saya rasa ini kerja Naufal, sebab sebelum ini dia ada mesej saya dan dia tidak puas hati kerana saya mendirikan rumahtangga dengan orang lain." Jessica mengesat air mata dengan tisu.

"Jess, kamu kena beritahu David ni, besar isu ni" wajah Anna serius tetapi tampak tenang. Dia memeluk Jessica.


**


David terkejut setelah mendapat panggilan daripada Jessica. Dia tidak menyangka bahawa situasi mereka sampai ke tahap itu.

"Apa yang harus saya lakukan pada saat ini ya Tuhan?" Dia terduduk dan dia berfikir apa langkah seterusnya yang harus mereka ambil.
David juga mempunyai kerisauan sekiranya pihak JAI ataupun Naufal datang dan menganggu majlis mereka hari ini.

David mencapai telefon bimbit dan mendial nombor telefon gembalanya Lee supaya Lee sedar dengan apa yang berlaku pada saat itu. Lee menasihati David agar berfikir secara bijak dalam menangani isu ini.

Setelah meluahkan isi hatinya kepada Lee, David membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan kerana dia percaya perkahwinan mreka adalah rencana Tuhan. David berserah kepada Tuhan serta memohon perlindunganNya. 

Setelah David yakin dengan keputusannya, dia menghubungi keluarganya. Dia juga mengingatkan Jessica agar memberitahu keluarga Jessica untuk berkumpul di EK Bridal.


**


Jessica menarik nafas yang panjang sebelum dia menjelaskan semuanya. Dia telah mengumpulkan ahli keluarga kedua belah pihak dan berkumpul di EK Bridal. Jessica dan David fitting baju serta make up di situ dan hanya ada masa itu sahaja sebelum majlis perkahwinannya bermula malam itu.

Penjelasan yang sama diberikan kepada keluarga mereka seperti kepada pemimpin jemaat gereja.

Semua mereka tampak kaget dengan penjelasan itu, tetapi ayah Jessica bersedia untuk sebarang kemungkinan. Ayah Jessica bekerjasama dengan abang David telah mengarahkan ahli keluarga lelaki yang lain untuk mengawal pintu masuk dewan hotel agar tidak ada sesiapapun menganggu kelancaran majlis. Ibu David hanya mendiamkan diri dan menyerahkan urusan itu kepada anaknya sahaja. Ayah David tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara itu. David hanya menjelaskan padanya selepas majlis selesai. Adik-beradik David dan Jessica menyokong keputusan David dan memberi sokongan moral agar majlis itu diteruskan.

Sebelum mereka berpisah untuk kembali ke dewan hotel majlis perkahwinan itu diadakan, David telah memimpin bacaan doa dan memohon perlindungan daripada kuasa Tuhan untuk keluarga mereka. Hati mereka menjadi tenang kerana percaya Tuhan Yesus ada menyertai mereka saat itu.

Sepanjang majlis dilangsungkan, mata David sentiasa memandang jam tangan dan pintu masuk dewan hotel. Dia merasa resah dan tidak sabar menunggu majlis cepat selesai. Jessica menghilangkan rasa bimbangnya dengan berserah sepenuhnya kepada Tuhan Yesus, dia tahu setiap perkara yang salah dilakukan, pasti ada harga yang harus dia bayar.

Puji Tuhan, Tuhan memberkati kehidupan keluarga Jessica dan David. Majlis berjalan dengan lancar dan tiada sebarang gangguan daripada pihak JAI.


**

Satu malam telah berlalu, Jessica dan David kepenatan, tetapi mereka bersyukur mereka telah disatukan. Mereka tidak mengambil masa yang lama untuk tinggal di Borneo kerana harus kembali bekerja di Tanah Malaya.

Masa yang singkat itu digunakan untuk bersama kedua-dua buah keluarga sebelum mereka bergerak ke Borneo Airport.

Jessica menarik nafas lega tetapi dia masih tertanya-tanya bagaimana situasi setelah sekembalinya dia dan suaminya David ke Tanah Malaya nanti. Apakah yang akan terjadi? Adakah dia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan?



_bersambung_

No comments:

Post a Comment